Cara Buat Acar Ikan Talang. Penambah Lauk Yang Menyelerakan & Tahan Lama
Selain sambal, acar juga adalah penambah lauk pantas yang menyelerakan. Selain acar buah, acar ikan talang antara acar yang sedap dan menyelera. Jika tidak sempat nak masak, acar ikan talang ini sudah cukup menyelerakan untuk digandingan dengan telur goreng dan nasi putih panas. Sedar-sedar nasi dah bertambah.
Cara penyediaan acar ikan talang ini juga agak mudah. Cukup bahan boleh terus masak. Resepi perkongsian Norshakinah Shaleh ini boleh anda jadikan panduan untuk buat acar ikan talang yang sedap.
Mari ikuti perkongisan di bawah ini.
RESEPI ACAR IKAN TALANG
Bertambah tambah makan nasi hari ni sebab ada acar ikan talang. Cara sis masak acar ikan talang ada di setiap gambar. Ni cara sis.
Silakan share. Saya izinkan. Selamat mencuba. Moga bermanfaat untuk semua. Ikan talang ni yang kering ya, yang masin, bukan ikan talang basah yang fresh tu.
Buah-buah kering tu optional ja nak masukkan boleh tak nak masukkan pun boleh. Tapi kalau tambah lagi sedap.
BAHAN DAN CARA PENYEDIAANYA :
1. Mula-mula potong ikan talang masin (bukan ikan talang segar tu ya). Jangan potong kecil sangat, jangan besar sangat. Ini dalam 500gm, ambil bahagian isi saja. Tulang-tulang boleh simpan buat gulai.
2. Lepas siap potong rendam sekejap baru cuci bersih.
3. Dah siap cuci, tos dan goreng isi ikan talang tadi bagi garing. Dah garing toskan minyak (minyak goreng simpan untuk langkah seterusnya).
4. Sambil goreng ikan boleh kisar bawang besar, bawang putih dan halia. Kuantiti ikut agak-agak saja ikut kuantiti ikan.
5. Kisar pula cili kering.
6. Kemudian kupas bawang merah, bawang putih, halia dan cili padi. Basuh bersih. Bawang merah dan putih belah dua, halia potong mancis. Rendam semuanya dalam cuka. Jangan banyak sangat cuka. Nanti masam dan bau cuka.
7. Ini bahan-bahan perasa lain, gula melaka, lobak masin (basuh dulu), biji sawi, halba, kari ikan. Ambil juga serba sikit jintan manis, jintan putih dan biji ketumbar, sangai sekejap dan kisar halus.
8. Ini pula bahan tambahan. Tak nak masuk pun boleh saja.
CARA-CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak yang bekas goreng ikan talang tadi tumis biji sawi dan halba. Dah naik bau masukkan bahan kisar tadi iaitu bawang dan halia tu.
2. Dah garing elok baru masukkan cili kisar. Tumis sampai betul-betul pecah minyak. Kemudian masukkan serbuk kari dalam 2 sudu, dan jintan kisar tadi.
3. Goreng lagi sampai pecah minyak, baru masukkan gula melaka. Masak lama sikit pun tak apa.
4. Bila bahan tumis dah masak elok, masukkan bahan-bahan yang direndam dengan cuka tadi. Masukkan sekali dengan cuka yang rendam.
5. Masukkan buah buahan kering, lobak masin dan ikan talang goreng tadi.
6. Gaul bagi sebati. Biar sampai pecah minyak sekali lagi. Kacau sekali sekala saja supaya ikan tak hancur. Biarkan acar atas api perlahan, bagi semua rasa sebati. Lagi lama lagi elok dan sedap.
7. Akhir sekali tabur bijan. Ok dah siap. Sejukkan sebelum letak dalam bekas.
Selamat mencuba.
Sumber/Foto : Norshakinah Shaleh
Leave a Reply