Setiap masakan ada kisahnya. Kali ini, kisahnya bermula di pejabat. Seorang adik berbangsa India hulurkan RM10 dan minta tolong masakkan kari telur. Katanya, lama dulu pernah rasa masakan saya dan katanya sebiji rasa macam masakan mendiang mak dia. Dia rindu. Terus saya hulur balik duit tu dan kata, “Takpe dik, akak tolong masakkan… esok akak bawakkan.” Harap rindunya terubat ❤️
Inilah resepi kari telur dan kentang yang saya masak untuk dia… dan anak-anak di rumah. Tiada yang istimewa, tapi penuh rasa dan kasih.
🍳 Bahan-bahan:
- 10 biji telur ayam – direbus
- 5 biji kentang – kupas, belah 4, bilas dan toskan
- 10 tangkai daun kari – leraikan daun, cuci bersih
- 8 sudu besar bawang besar kisar
- 3 sudu besar bawang putih kisar
- 1½ sudu besar halia kisar
- 1 kiub pati ayam
- 1 cawan minyak masak
- 5 sudu besar serbuk kari ayam Baba’s
- 3 sudu besar serbuk kari ikan Baba’s
- Rempah 4 sekawan:
- 2 batang kayu manis
- 4 kuntum bunga lawang
- 4 biji bunga cengkih
- 4 biji buah pelaga
- 2 keping kecil asam keping
- 1½ kotak santan kotak (200g setiap satu)
- Garam secukup rasa
👩🍳 Cara Memasak:
- Panaskan 1 cawan minyak dalam periuk.
- Masukkan rempah 4 sekawan. Biarkan naik bau wangi.
- Masukkan bawang besar, bawang putih dan halia kisar. Tumis dengan api kecil selama 5 minit.
- Masukkan daun kari. Tumis 10-15 minit hingga wangi semerbak, kacau on-off.
- Campurkan serbuk kari ayam dan ikan ke dalam satu mangkuk. Tambah sedikit air dan kacau hingga jadi pes likat. Masukkan ke dalam periuk.
- Tambah 2-3 sudu minyak masak jika perlu. Kacau sehingga rempah pecah minyak. Pastikan api sederhana dan kacau sentiasa supaya tak hangit.
- Masukkan kentang. Kacau perlahan guna sudip kayu supaya kentang tak hancur.
- Masukkan kiub pati ayam dan asam keping.
- Bila rempah sudah benar-benar pecah minyak, masukkan santan. Kacau perlahan sehingga santan juga pecah minyak.
- Perasakan dengan garam secukupnya.
- Masukkan telur rebus. Biarkan kuah mendidih dan kentang empuk tapi tidak hancur.
- Siap untuk dihidang bersama nasi putih panas!
💡 Nota & Tips Dapur:
- Saya biasa guna anggaran sukatan agak-agak ikut rasa dan pengalaman. Sukatan di atas adalah versi yang paling sesuai untuk dikongsi.
- Saya guna minyak agak banyak (1 cawan) untuk pastikan rempah betul-betul pecah minyak. Lebihan minyak boleh diserap guna kitchen towel atau disenduk keluar selepas masak.
- Periuk yang saya guna sebenarnya periuk nasi elektrik lama – hadiah kahwin hampir 30 tahun dulu. Walaupun periuk dah rosak, bahagian dalamnya masih elok dan jadi periuk kari kesayangan saya di dapur.
- Stok bawang besar, bawang putih dan halia saya siap blend setiap minggu. Mudah nak masak bila semua dah tersedia.
Resepi ini biasa saja, tapi kalau dimasak dengan niat yang ikhlas… insyaAllah rasanya jadi luar biasa. Selamat mencuba!
Untuk lebih banyak kisah dan resepi yang menyentuh hati, layari akakpesan.com 💛
Kredit: De Norms Latorel
Leave a Reply