Masak Sayur Pedas Timun Ikut Resipi Arwah Mak. Sedapnya Tak Terkata
Sayur Pedas Timun merupakan hidangan ataupun lauk ‘orang kampung’ yang sangat sedap dan mudah penyediaannya. Walaupun hidangan ini ringkas sebegini, namun rasanya membuatkan anda boleh tambah nasi beberapa kali. Hidangan lauk ini perlu dipadankan dengan lauk sampingan yang lain seperti ikan goreng atau ikan masin goreng, itu punsudah cukup untuk membangkitkan selera.
Berkongsi resipi arwah ibu, saudari Tengku Azwa menyatakan hidangan ini juga sangat enak dimakan bersama Sambal Belacan. Malah ia juga boleh dinikmati oleh ibu-ibu yang sedang berpantang dengan memasaknya bersama lobak putih. Wah… Tentu enak. Jom cuba!
RESEPI SAYUR PEDAS TIMUN
Kalau stok timun tak tahu nak wat apa… Boleh buat sayur pedas ni…Simple je. Orang ganu panggil sayur pedas, jodohkan dia dengan sambal belacan . Saya masak ikut resipi arwah mak. Orang berpantang pun boleh makan. Masak dengan carrot putih
BAHAN-BAHAN:
- 1 batang timun
- 3 ulas bawang putih
- 5 ulas bawang merah
- 1/2 sudu makan lada hitam
- 1 ekor isi ikan rebus – tumbuk
- Air secukupnya
- Garam dan perasa secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Tumbuk bawang putih, bawang merah dan lada hitam hingga lumat.
2. Masukkan ke dalam periuk bersama hirisan timun dan juga isi ikan rebus yang telah ditumbuk.
3. Masukkan air secukupnya ke dalam periuk. Jika mahu tumis bawang dan lada hitam terlebih dahulu pun boleh. Isi ikan tidak perlu ditumis. (empunya resepi tidak tumis. Terus masukkan air sahaja)
4. Masak sehingga timun lembut. Kemudian perasakan dengan garam serta perasa dengan secukupnya. Gula tidak perlu kerana timun sudah mempunyai rasa manis.
5. Bila sudah cukup rasa dan timun lembut, angkat dan sedia untuk dinikmati.
INFO : Jika tiada ikan rebus, boleh guna ikan bilis. Tapi lebih sedap jika guna isi ikan rebus. Boleh juga tambahkan daun kesum jika suka.
Lauk orang kampung memang ringkas, namun ia sedap dan membangkitkan selera. Selamat mencuba!
Sumber/Foto : Tengku Azwa
Leave a Reply