Inilah Cara Mudah Kilatkan Periuk Dan Perkakas Dapur, Kurang Menyental Hasil Memuaskan
Kadang-kadang kita terlalu khusyuk memasak sampai habis hitam kuali dan periuk akibat jelaga atau kerak hangus. Di sini kami berbesar hati kerana Puan Kalaivani Vj sudi berkongsi tips beliau yang sangat mudah, efisyen dan jimat.
Menurut beliau, cara ini sesuai untuk perkakas dapur jenis keluli, perak, besi, tembaga dan sebagainya. Bagi kawan-kawan berbangsa India, boleh juga menggunakan cara ini untuk mengilatkan set pemujaan (pooja) masing-masing. Tentu anda akan berpuas hati dengan keputusannya.
CARA MUSAH KILATKAN PERIUK & PERKAKAS DAPUR DENGAN ASAM KEPING
Berikut adalah cara mengilatkan periuk atau perkakas dapur menggunakan asam keping, langkah demi langkah.
1. DIDIHKAN ASAM KEPING
Mula-mula, sediakan periuk yang besar dan boleh memuatkan perkakas yang boleh anda celupkan ke dalamnya nanti. Kemudian, masukkan asam keping sekitar 6-7 keping dan panaskan hingga mendidih.
Menurut Puan Kalaivani, boleh juga menggunakan asam jawa sekiranya tiada asam keping. Tapi, kesannya tidak sehebat asam keping.
2. AMBIL PERKAKAS YANG INGIN DIKILATKAN
Inilah contoh perkakas yang ingin dikilatkan. Ambil perkakas tersebut dan celupkannya ke dalam periuk besar tadi.
3. RENDAMKAN
Rendamkan periuk atau bahan yang ingin dikilatkan tadi selama lebih kurang 2 minit. Kalau rajin, terbalikkan supaya semua permukaan dapat terendam dengan sempurna.
4. SENTAL
Setelah dikeluarkan dari air asam keping yang mendidih tadi, sentalkan menggunakan sabun. Puan Kalaivani mengesyorkan supaya ia disental dengan Sabun Cap Buruh atau Axion.
5. BILAS SEPERTI BIASA
Akhir sekali, bilaskan dan keringkan seperti biasa. Nampak hasilnya seperti dalam gambar ini, berkilat bukan? Kalau nak lebih berkilat, Puan Kalaivani syorkan supaya dijemur di bawah matahari. Lebih ‘shining’ katanya.
MEMANG BERKESAN
Ramai yang telah mencuba petua kilatkan periuk ni dan berpuas hati dengan cara mengilatkan perkakas dapur ini terbukti berkesan. Antaranya Cik Nor yang telah menggunakannya untuk kilatkan periuk ini. Sangat ketara hasilnya. Dah macam baru beli!
Selamat mencuba!
Sumber: Puan Kalaivani Vj
Leave a Reply