
Sebelum Tinggalkan Kucing Di Rumah Pemilik Kucing Perlu Periksa 10 Perkara Ini Sebelum Bercuti
Kucing ibarat anak sendiri bagi sesebuah keluarga yang cukup cintakan haiwan kesayangan Nabi ini. Apabila pulang beraya ke kampung halaman, masalah penjagaan haiwan yang diibaratkan seperti anak ini menjadi fokus utama.
Ada Bela Kucing Di Rumah Tapi Nak Pulang Ke Kampung?
Jika ada yang memilih untuk meninggalkan kucing-kucing ini di asrama kucing atau pusat peliharaan kucing, ia mungkin dianggap sebagai langkah bijak namun banyak aspek masih lagi perlu diambil kira.
Namun berbagai aspek perlu diambil kira sebelum meninggalkan kucing bersendirian di rumah. Sepuluh perkara ini patut anda buat sebelum melangkah pulang ke kampung halaman.
Lakukan 10 Perkara Ini Sebelum Tinggalkan Kucing Di Rumah
1. Mandikan Terlebih Dahulu
Sebelum anda tinggalkan kucing pastikan kucing-kucing anda dimandikan terlebih dahulu. Menghantar ke kedai dengan pakej lengkap pembersihan mungkin lebih menjimatkan masa.
Balik sahaja ke rumah, kucing anda berbau harum dan segar. Memastikan mereka bersih dan segar adalah penting supaya kucing lebih rasa selesa untuk ditinggalkan lama.
2. Beritahu Setiap Hari
Dua tiga hari sebelum pulang beritahulah kucing-kucing anda akan ketiadaan anda kelak. Bercakaplah dengan mereka seperti biasa dan pujuklah mereka untuk tinggal bersendirian.
Mungkin ia dianggap kelakar namun kucing memahami setiap apa yang anda tuturkan. Percaya atau tidak, tanpa anda memberitahu mereka sekalipun, kucing kelihatan murung dan seperti memahami akan pemergian anda.
3. Pasir Lebih
Selain makanan, pasir juga amat penting. Ada kucing yang kurang selesa melepaskan hajatnya apabila ada njis di dalamnya. Mereka sama seperti kita yang banyak ragam dan peelnya.
Jadi sediakanlah bekas pasir lebih khusus untuk tujuan ini. Menyediakan dua hingga tiga bekas pasir yang besar adalah wajar.
4. Pengudaraan Tepat
Jika anda meletakkan kucing di dalam bilik tertutup, pastikan tingkap di buka sedikit. Jangan di buka terlalu luas kerana bimbang kucing keluar melaluinya. Pastikan tingkap anda ada besi pengadangnya.
5. Makanan Guna ‘Auto Food Dispenser’
Sebelum meninggalkan kucing-kucing ini pastikan anda sudahpun mempunyai bekas makanan jenis ‘auto dispenser’, yang boleh membekalkan makanan sentiasa kepada kucing.
Bila makanan berkurang, makanan akan jatuh dengan sendirinya ke dalam tempat makan. Jadi tiadalah masalah kehabisan makanan. Bekas ini penting. Kena ada. Sediakanlah makanan sepenuh-penuhnya. Biar lebih asal jangan terkurang. Begitu juga dengan air. Beli jenis yang sama, khusus untuk air.
6. Pasang Lampu
Biarkan lampu sentiasa terpasang sepanjang masa. Ini bagi mengelakkan mereka berada di dalam keadaan gelap ketika malam hari. Walaupun kucing mampu untuk ‘survive’ di dalam cahaya gelap, namun membuka lampu dirasakan lebih selamat bagi mereka.
7. Berikan Teman
Orang kata hidup biar berteman. Begitu jugalah si bulus kesayangan kita ini. Jika kucing anda seekor sahaja, ada baiknya anda bawa dia pulang bersama atau letakkan dia di asrama kucing. Namun jika berteman, itu tidak mengapa.
8. Letakkan Pakaian
Ini penting. Kucing kita terutama jenis parsi dan campuran cepat murung tanpa tuannya.
Tinggalkan baju anda yang sudah dipakai bagi meninggalkan sedikit bau buatnya. Ini dapat mengelakkan rasa murung.
9. Ada Penghadang
Jika anda tinggalkan kucing dan dia berada pada satu-satu kawasan yang luas seperti dapur, pastikan diletakkan pengadang seperti pengadang pagar. Ini bagi membolehkan kucing tidak bergerak ke kawasan lain seperti ruang tamu dan bilik.
Namun jika anda meletakkan kucing-kucing ini di dalam sebuah bilik, pastikan bilik di tutup dengan rapat. Ada sesetengah, kucing masih berjaya membukanya dengan menolak kuat.
10. Mainan Tambahan
Mainan kena ada sebelum tinggalkan kucing anda bersendirian di rumah. Selain mengelakkan rasa bosan dan murung, mainan boleh membantu kucing-kucing anda bermain dengannya. Cara ini buat dia terlupa yang dia rindukan anda.
Jika anda masih belum mempunyai keyakinan untuk tinggalkan kucing anda bersendirian dirumah, adalah lebih baik untuk anda bawa sekali pulang ke kampung ini kerana pastinya jiwa anda kacau sepanjang di kampung memikirkan keadaan kucing di rumah.
Jika jarak kampung agak jauh anda boleh cari teman terdekat yang boleh menjaga anak bulus anda ini sebaiknya tetapi janganlah tempoh tinggalkan kucing lebih dari seminggu takut nanti merajuk pula anak bulus nanti.
Leave a Reply