Cara Dan Waktu Paling Afdhal Mengerjakan Mandi Sunat Jumaat

Cara Dan Waktu Paling Afdhal Mengerjakan Mandi Sunat Jumaat

“Macam mana niat mandi sunat Jumaat ye? Boleh ke kalau kita mandi awal pagi sebelum pergi kerja tu?” Hari jumaat adalah ‘Hari Kebesaran’ yang berulang setiap minggu atau lebih dikenali sebagai penghulu bagi segala hari.

Hadith telah menjelaskan beberapa amalan sunnah yang perlu dilakukan pada hari jumaat, antaranya termasuklah mandi Sunat Jumaat.

Mungkin ada yang masih belum jelas apakah mandi Hari Jumaat ini, siapa yang disunatkan melakukannya, dan bilakah waktu yang paling afdhal melakukannya.

Di sini kami kongsikan info tentang Mandi Sunat Jumaat untuk kita jadikan amalan bersama.

HUKUM MANDI SUNAT JUMAAT

Pendapat mazhab Syafie dan jumhur ulama, hukum mandi hari jumaat itu adalah sunat bukannya wajib.

Telah diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub r.a. Rasulullah saw bersabda :

من توضأ يومَ الجمعةِ فبها ونعمتْ . ومن اغتسل فالغسلُ أفضلُ

Maksudnya : “Siapa yang mengambil wuduk pada hari jumaat maka ia adalah elok dan siapa yang mandi maka mandi itu afdhal.” (Hadith riwayat Tirmizi dan Baihaqi dan Al-Baghawi)

SIAPA YANG DISUNATKAN MANDI SUNAT JUMAAT?

Terdapat beberapa pendapat dalam hal ini iaitu:

1. Mandi ini digalakkan bagi sesiapa yang ingin hadir ke solat Jumaat dan ditekankan pada hak lelaki itu lebih dituntut berbanding wanita.

2. Sunat mandi pada hari Jumaat bagi mereka yang mendirikan solat Jumaat sekalipun solat tersebut tidak wajib atas mereka, seperti orang musafir, perempuan dan kanak-kanak.

3. Pendapat yang lain pula mengatakan bahawa mandi pada hari Jumaat, sunat bagi sesiapa sahaja sama ada yang mendirikan solat Jumaat ataupun tidak. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْتِىَ الْجُمُعَةَ فَلْيَغْتَسِلْ

Maksudnya: “Sesiapa yang hendak mendirikan solat Jumaat dia hendaklah mandi”. [Riwayat Muslim (844)]

NIAT MANDI SUNAT JUMAAT

Niat mandi sunat Jumaat ialah ringkas sahaja iaitu:

‘Sahaja aku mandi sunat jumaat kerana Allah Taala.’

WAKTU MANDI SUNAT JUMAAT

Waktu mandi sunat Jumaat adalah bermula masuk waktu azan solat Subuh. Walaubagaimanapun, mandi ketika hampirnya waktu mendirikan solat Jumaat adalah lebih baik.

Ini kerana lebih dekat kepada tujuan mandi tersebut, iaitu mengharumkan bau badan, menghilangkan peluh dan bau busuk.

Islam menggalakkan manusia mandi sunat Jumaat disebabkan berhimpunnya mereka pada hari tersebut supaya tiada sesiapa terganggu dengan bau yang tidak menyenangkan.

Disebabkan itu juga, Rasulullah SAW melarang memakan bawang putih dan bawang merah bagi sesiapa yang ingin hadir untuk mendirikan solat di masjid.

ADAKAH DISUNATKAN LAGI AMALAN SUNAT PADA HARI JUMAAT JIKA SEKIRANYA TERGUGURNYA SOLAT JUMAAT SEPERTI DISEBABKAN CV1Dl9 INI?

Amalan sunat hari Jumaat yang tidak berkait secara khusus dengan solat Jumaat, masih lagi disunatkan untuk dilakukan seperti:

  • mandi sunat Jumaat
  • membaca surah al-Kahfi
  • memperbanyakkan zikir dan selawat ke atas Baginda SAW
    dan sebagainya.

Hal ini kerana kelebihan ganjaran amalan ini adalah bergantung kepada kemuliaan dan keagungan hari Jumaat dan tidak tergugur dengan tiada solat Jumaat.

Adapun amalan-amalan sunat yang berkait secara khusus dengan solat Jumaat akan tergugur dengan tiadanya solat Jumaat, contohnya:

  • berjalan kaki ke masjid
  • datang awal ke masjid, mendengar khutbah
  • beriktikaf di masjid dan lain-lain

Oleh itu, janganlah kerana sebahagian amalan-amalan sunat Jumaat tidak dapat dilakukan, maka kita meninggalkan kesemua amalan tersebut.

Hal ini berdasarkan kepada kaedah yang menyebutkan bahawa:

ما لا يدرك كله، لا يترك كله، أو لا يترك جُلّه

Maksudnya: Apa yang tidak mampu untuk dilakukan kesemuanya, janganlah ditinggalkan kesemuanya atau sebahagian besar daripadanya (yang mampu dilakukan).

JOM JADIKAN AMALAN!

Kesimpulannya, begitu banyak amalan sunat yang boleh dilakukan pada hari Jumaat – antaranya termasuklah Mandi Sunat Jumaat dan ia lebih ditekankan bagi mereka yang pergi Solat Jumaat.

Jadi bagi kaum lelaki, bolehlah jadikan kebiasaan untuk mandi sunat Jumaat kerana ianya begitu ringkas namun diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya.

Amiin.

Sumber: IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-164: MANDI PADA HARI JUMAAT

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*