Cara Dan Kelebihan Solat Sunat Rawatib

Join Telegram Akak Pesan Di Bawah Untuk Mudahkan Carian Artikel

Telegram logo png, Telegram logo transparent png, Telegram ...

Cara Dan Kelebihan Solat Sunat Rawatib

Solat Sunat Rawatib ialah solat yang mengiringi solat-solat fardhu sama ada sebelum atau selepas solat fardhu. Solat ini sangat digalakkan oleh Islam dan selalu diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.

Hikmah pensyariatannya ialah bagi menampung segala kekurangan sewaktu mengerjakan solat fardhu, seperti tidak khusyuk atau tidak mentadabbur ayat-ayat yang dibaca.

WAKTU MENGERJAKAN

Solat sunat rawatib adalah solat-solat sunat yang didirikan sebelum ataupun sesudah solat fardhu lima waktu.

Solat rawatib sebelum solat fardhu dikenali sebagai solat sunat qabliyah, manakala solat rawatib yang setelah solat fardhu pula dikenali sebagai solat ba’diyah.

HUKUM / KATEGORI SOLAT SUNAT RAWATIB

Solat sunat Rawatib ini terbahagi kepada dua bahagian :

  • Sunat Rawatib yang “Muakkad” – ditekankan
  • Sunat Rawatib yang “Ghaira Muakkad” – tidak ditekankan

Menurut AL-KAFI 1029, bilangan rakaat solat sunat rawatib yang mu’akkad ialah 10 rakaat, manakala yang tidak mu’akkad pula ialah 12 rakaat.

Namun yang terbaik adalah kita perbanyakkan solat sunat semampu mungkin tanpa mengira samada ia mu’akkad ataupun tidak.

Sunat Rawatib yang “Muakkad” adalah 10 rakaat seperti berikut :

  • 2 Rakaat sebelum Solat Subuh
  • 2 Rakaat sebelum Solat Zohor.
  • 2 Rakaat selepas Solat Zohor.
  • 2 Rakaat selepas Solat Maghrib.
  • 2 Rakaat selepas Isyak.

Sunat Rawatib yang “Ghaira Muakkad” pula adalah 12 rakaat seperti berikut :

  • 2 Rakaat sebelum Solat Zohor
  • 2 Rakaat selepas Solat Zohor.
  • 4 Rakaat sebelum Solat Asar.
  • 2 Rakaat sebelum Solat Maghrib.
  • 2 Rakaat sebelum Isyak.

DALIL

Sabda Rasulullah s.a.w :

عن عبد الله بن عمر قال حفظت عن رسول الله صلى الله عليه وسلم ركعتين قبل الظهر وركعتين بعد المغرب وركعتين بعد العشاء وركعتين قبل الغداة

(متفق عليه)

Maksudnya :Dari Abdullah bin Umar, katanya, “Saya mengingati (lafaz) dari Rasulullah s.a.w dua rakaat sebelum Zohor, dua rakaat sesudah Maghrib, dua rakaat sesudah Isyak, dan dua rakaat sebelum Subuh.” (Muttafaq alaih)

NIAT SOLAT SUNAT RAWATIB

  1. Sekiranya sebelum solat Fardhu di sebut : قَبْلِيَّةً
  2. Sekiranya selepas solat Fardhu di sebut : بَعْدِيَّةً

Oleh yang demikian niatnya adalah seperti berikut :

أُصَلِّي سُنَّةَ ( الظُّهْرِ / العَصْرِ / المَغْرِبِ / العِشَاءِ / الصبح ) رَكْعَتَيْنِ (قَبْلِيَّةً / بَعْدِيَّةً ) لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya : Sahaja aku menunaikan solat sunat (Zohor / Asar / Isyak / Subuh) dua rakaat (Sebelum / Selepas) kerana Allah Taala.

CARA SOLAT SUNAT RAWATIB

Cara solat sunat rawatib adalah seperti mengerjakan solat sunat 2 rakaat seperti biasa.

Antara surah-surah yang dianjurkan ulama selepas bacaan al-Fatihah ialah:

  • Rakaat 1: Surah al-Kafirun
  • Rakaat 2: Surah al-Ikhlas

Catatan:

  1. Semasa melakukan takbiratul ihram, wajib diniatkan sama ada solat itu Qabliyyah atau Ba’diyyah
  2. Solat sunat sebelum fardhu Subuh dan sebelum fardhu Asar tidak perlu diniatkan Qabliyyah
  3. Solat-solat sunat Rawatib ini tidak dituntut berjamaah
  4. Solat-solat sunat Rawatib lebih utama dikerjakan di rumah
  5. Jika solat lebih 2 rakaat, lakukan tiap-tiap 2 rakaat dengan satu salam

KELEBIHAN SOLAT SUNAT RAWATIB

Disebutkan dalam sebuah hadis tentang kelebihan solat sunat rawatib iaitu:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ.

Maksudnya: Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Sahih Muslim (728)

Dalam hadith yang lain dijelaskan pula perincian solat-solat yang berjumlah dua belas rakaat seperti yang disebut dalam hadith di atas.

Daripada Ummu Habibah R.’Anha, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ.

Maksudnya: Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Dua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zohor, dua rakaat setelah solat Zohor, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh. Sunan Tirmidzi (380) dan Sunan Ibn Majah (1196)

JOM REBUT GANJARANNYA BERSAMA!

Inilah keajaiban sunat rawatib dan kita seharusnya merebut pahala dan berusaha menggamit cahaya kebaikan daripada-Nya.

Pujuk dan rayu diri dengan meleburkan sikap malas kepada gerak hati yang terdorong untuk mendirikan amalan solat sunat itu.

Marilah sama-sama kita berikhtiar mengajak diri kita, anak-anak dan saudara agar mencintai sunat rawatib.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*