Hukum Memakai Inai Bercorak Dalam Islam Lelaki dan Perempuan
Pasti ada yang tertanya bolehkah lelaki pakai inai dan apakah hukum memakai inai bagi seorang wanita? Sebenarnya, persoalan begini masih lagi menjadi tanda tanya ramai dan bagi mereka pakai inai adalah untuk cantik di mata mereka tetapi tidak semestinya cantik dari segi hukum agama Islam.
Dalam masyarakat Melayu adalah menjadi kebiasaan pemakaian inai dalam sesebuah perkahwinan sama ada pengantin lelaki atau perempuan. Inai atau Henna dijadikan perhiasan di jari dengan tujuan untuk mencantikkan si pemakai. Tetapi, apakah hukum memakai inai bercorak atau berukir mengikut syarak dalam Islam?
Berikutnya dikongsikan penjelasan dan pengetahuan tentang hukum memakai inai sama ada bercorak atau lukis dan sebagainya yang dikongsikan oleh Ustaz Farid Rashidi yang menjelaskan tentang hukum pakai inai lelaki dan perempuan dengan lebih mendalam dan panjang lebar.
Hukum Memakai Inai Bercorak Lelaki dan Perempuan
Menjadi adat resam masyarakat Melayu memakai inai ketika berkahwin. Lelaki mahupun perempuan, kuku adalah aset penting. Dengan adanya kuku, nikmat menggaru lebih terasa. Apa lagi suami isteri yang saling garu menggaru dan cakar mencakar di malam hari. Itu salah satu kelebihan kuku.
Pun begitu, di sini bukan mahu berbincang pasal kelebihan kuku atau cara menggaru. Tetapi saya mahu bawakan satu permasalahan hukum berkaitan kuku.
Iaitu mewarnakan kuku dengan inai (خِضَابَ) apa hukumnya?
InsyaAllah perbincangan kali ini tidaklah terlalu panjang untuk dihadam. Sebab sengaja disusun dan bahagikan kepada dua bahagian. Ini bahagian pertama tentang Inai. Bahagian kedua di lain perbincangan.
Baik, teruskan membaca.
Untuk kali ini, dibawakan perbincangan mengenai kaedah mewarnakan kuku menggunakan pewarna seperti inai.
Sebelum masuk ke bab hukum, kita kena tahu dulu kaedah pemakaiannya.
Perwarna inai ini pula ada dua jenis kaedah pemakaian orang biasa guna.
- Kaedah biasa. Tradisional. Macam orang Melayu selalu pakai.
- Kaedah doodle art (Sejenis kaedah corakkan tangan menggunakan inai, biasanya corak floral, awan larat dan lain-lain). Ia popular di kalangan gadis ‘berdahi licin’. Di sebut sebagai Henna (Reddish-brown dye). Sebenarnya Henna di ambil daripada perkataan arab (حِنَّاء).
Berbagai jenis inai dan Henna yang boleh dipakai di jari tangan, kuku dan kaki dilukis dan diukir.
Ok, jom masuk bab hukum pakai inai.
Pendapat yang paling tepat (rajih), harus berinai secara mutlak.
Berikut pecahan hukum berkaitan Inai dan Henna:
1. Diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah. Sebab inai tak menghalang untuk berwudhuk dan mandi hadas secara sempurna.
Dalilnya:
Daripada Aisyah r.a, bahawa seorang wanita telah menghulurkan tangannya kepada Nabi SAW, lalu Nabi SAW bersabda: “Kalaulah aku perempuan nescaya aku ubahkan kukumu – yakni dengan inai”
[Al-Sayuti, jil 8, 142. Imam Ahmad bin Hanbal, Jil 6, 262. Sunan Abi Daud, Jil 4, 77]
2. Warna inai yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur campuran bahan yang meragukan. Pastikan halal.
3. Mengenai Henna bercorak pula, hanya corak atau ukiran daun, bunga dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan.
Corak-corak haiwan, lambang dewa-dewi, ada kaitan ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syara’ adalah dilarang.
Pun begitu ada kadarnya. Iaitu pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja. Tidaklah melampau melebihi had tersebut.
[Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009]
4. Untuk lelaki, pemakaian inai pada kedua tangan berikut pandangan hukumnya:
Fuqaha’ dari kalangan mazhab Hanafi, Maliki, satu riwayat dari Syafi’e, Hanbali dan Zohiri berpendapat bahawa makruh mengecat, mewarnai kedua belah tangan dan kaki bagi lelaki.
Pemakaian inai melebihi pergelangan tangan dan melebihi buku lali adalah tidak dibenarkan.
Dalam Kitab Fatawa al-Hindiyyah menyebut:
“Dan tidak sepatutnya bagi budak lelaki mengecat kedua-dua belah tangan dan kakinya kecuali ketika berhajat sahaja.” [Nizamuddin, Jil 5, 358]
Manakala dalil lain pula menyebut:
Daripada Anas r.a bahawa Nabi SAW, melarang lelaki memakai atau melumur za’faran.
Nabi SAW melarang memakai warna kuning kemerah-merahan (warna za’faran), begitu juga diambil hukum yang sama bagi mewarna kedua belah tangan kerana warna merah cenderung kepada kuning.
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam al-Majmu’:
أَمَّا خِضَابُ الْيَدَيْنِ وَالرِّجْلَيْنِ بِالْحِنَّاءِ فَمُسْتَحَبٌّ لِلْمُتَزَوِّجَةِ مِنْ النِّسَاءِ: لِلْأَحَادِيثِ الْمَشْهُورَةِ فِيهِ وَهُوَ حَرَامٌ عَلَى الرِّجَالِ إلَّا لِحَاجَةِ التَّدَاوِي
“Adapun mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai, maka digalakkan bagi yang berkahwin dikalangan perempuan berdasarkan hadith-hadith masyhur padanya dan haram ke atas lelaki-lelaki (memakai inai) kecuali untuk berubat.”
[Lihat al-Majmu’. Dar al-Fikr, 1/294]
Begitu juga al-Imam al-Syarwani Rahimahullah di dalam hasyiahnya bagi kitab Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah turut menyatakan perkara yang sama iaitu digalakkan bagi wanita yang telah berkahwin untuk berinai dan haram ke atas lelaki.
Wanita berkahwin digalakkan memakai inai dan haram bagi lelaki pakai inai.
Kesimpulan
Walaupun ada pandangan mengatakan makruh, namun sebagai orang awam kami mengikut pandangan Mufti Wilayah Persekutuan; mereka cenderung mengatakan bahawa tidak dibenarkan bagi lelaki untuk mengenakan inai pada kedua tangan atau kaki mereka dan digalakkan bagi perempuan yang telah berkahwin untuk berinai bagi tujuan berhias. Ini kerana berinai itu termasuk di dalam perhiasan wanita.
Perhiasan dan wanita ibarat isi dan kuku. Perhiasilah dengan cara betul lagi halal. Namun, hiasan terindah di dunia adalah wanita solehah.
Boleh share ke seluruh alam flora dan fauna. – Ustaz Farid Rashidi.
Semoga perkongsian hukum memakai inai bercorak atau inai lukis di tangan ini mampu memberikan jawapan kepada anda serta menambahkan lagi pengetahuan kita tentang hukum pemakaian inai mengikut syarak sama ada untuk si pemakai lelaki atau pun perempuan. Semoga bermanfaat.
VIDEO:
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook
Sumber: media maklumat
Leave a Reply