Pulut Kuning ialah hidangan tradisional Melayu yang sering disajikan dalam majlis istimewa seperti kenduri, doa selamat dan perkahwinan. Untuk memastikan pulut kekal lembut, cantik berwarna kuning dan tahan lama tanpa cepat basi, ikuti langkah dan tips mudah di bawah.
Kaedah Rendam Beras Pulut
- Rendam beras pulut dengan air sejuk.
- Masukkan 2 hingga 3 butir garam kasar ke dalam rendaman.
- Tambahkan asam keping semasa merendam untuk membantu tahan lebih lama.
- Rendam sekurang-kurangnya 6 jam atau semalaman.
- Sebelum direndam, bilas beras pulut hingga air bilasan jernih. Ini penting supaya pulut tidak berbau dan masak sekata.
- Semasa merendam, letakkan sekali 2 sudu serbuk kunyit untuk warna kuning semulajadi yang sekata dan tahan lama.
Kaedah Kukus Beras Pulut
1. Kukusan Pertama
Campurkan sedikit minyak masak ke dalam beras pulut, kemudian kukus selama 10 minit. Tujuan minyak adalah supaya pulut tidak melekat dan nampak berkilat.
2. Air Kukusan
Pastikan air kukusan benar-benar mendidih sebelum meletakkan pengukus berisi beras pulut. Tambahkan 3 atau 4 helai daun pandan di dalam air kukusan supaya wapnya wangi dan menaikkan aroma pulut.
3. Semasa Mengukus
Untuk kukusan pertama, kukus selama 10 minit, kemudian rehatkan seketika. Bagi kukusan kedua, kukus selama 20 minit. Campurkan bahan berikut sebelum kukusan kedua:
- ½ cawan minyak masak atau marjerin
- Pewarna kuning telur (jika mahu warna lebih terang)
- 200 ml santan
- 2 cawan air
- 1 sudu kecil garam
4. Pulut Kuning Nampak Berkilat & Tahan Lama
Untuk hasil yang lebih cantik, campurkan sedikit minyak atau marjerin selepas dikukus supaya pulut kelihatan berkilat. Pewarna kuning telur boleh ditambah sedikit untuk menaikkan seri. Walaupun pulut kuning nampak berbiji, teksturnya tetap lembut, tidak lembik dan lebih tahan lama.
Tip Tambahan Pulut Kuning Tahan Lama
- Gunakan santan yang segar supaya rasa lebih lemak dan wangi.
- Pastikan pulut benar-benar masak dan kering sebelum disimpan.
- Elakkan menutup pulut yang masih panas untuk mengelakkan wap terkumpul dan cepat basi.
- Jika ingin simpan lama, sejukkan dahulu sebelum disimpan dalam bekas bertutup.
Pulut Kuning – Hidangan Tradisional Lemak & Wangi
Dengan mengikuti tips masak pulut kuning tahan lama ini, anda dapat hasilkan pulut yang lembut, wangi dan kekal segar walaupun selepas beberapa jam. Sangat sesuai dihidangkan bersama rendang, serunding atau ayam masak merah untuk majlis istimewa.
Selamat mencuba dan semoga bermanfaat!
Sumber: Maz Samad
Leave a Reply