Wanita Ini Kongsi Cara Masak Ikan Buntal
Kalau sebut pasal ikan buntal, memang tak ramai yang biasa memakannya. Malah, tak kurang juga yang takut nak makan ikan buntal kerana ia juga dilabel sebagai makanan eksotik atau merbahaya kerana beracun.
Tapi sebenarnya di sesetengah tempat seperti di kawasan perkampungan nelayan, terutamanya di Sarawak dan Sabah, ikan buntal adalah hidangan yang amat istimewa. Antara sajian popular ialah buntal goreng, lauk tumis berkunyit, dan sagol buntal.
Dalam artikel ini, salah seorang pembaca kami, Abel Lione Karia yang berasal dari Semporna, ingin berkongsikan cara masak ikan buntal. Mari ikuti perkongsian beliau selanjutnya di bawah ini.
CARA MASAK IKAN BUNTAL DENGAN BETUL
Hari ini saya nak share cara-cara nak bersihkan ikan buntal dan cara nak masak ikan ini.
Walaupun agak leceh nak sediakan, tapi hasilnya memang memuaskan. Betullah kata orang, makanan yang paling susah disediakan itulah paling sedap dimakan. Jom tengok cara saya sediakan ikan buntal ini.
Bahan-bahan:
- Ikan buntal
- Bawang merah yang kecil (10 ulas)
- Serai (10 batang)
- Halia (besar ibu jari)
- Bawang putih (10-15 ulas)
- Kunyit atau serbuk (1 sudu kecil)
- Lada (agak-agak ikut pedas)
- Perasa
- Minyak untuk menumis
- Air 1 cawan
CARA-CARA
1. REBUS
Mula-mula, rebus dulu ikan buntal bersama dengan serai 4 batang.
Ada juga yang mengeluarkan insang / hempedu / isi perut ikan tersebut, terlebih dahulu sebelum merebus ikan buntal. Tapi biasanya saya rebus dulu.
2. CABUT DURI & BUANG HEMPEDU
Bila dah rebus, toskan dan angkat dari periuk. Kemudian cabut duri dan buang hempedu beracun dalam perutnya.
Oh ya, hatinya kita ambil sebab ia akan memberi rasa lemak pada masakan nanti. Inilah rupa hatinya. Yang lain-lain kita buang ya.
3. CARIKKAN ISINYA
Seterusnya, bolehlah carik-carikkan isi dan juga lemak ikan buntal.
4. MULA MENUMIS & MASAK SEPERTI BIASA
Selepas isinya dah disediakan, panaskan minyak dan tumbuk bahan-bahan tumisan. Tumis bahan sampai garing dan naik bau.
Kemudian masukkan dulu hati ikan buntal dan kacau hingga sebati. Lepas itu barulah masukkan isi ikan buntal yang telah dicarik. Gaul sampai semua sebati dan cukup masak.
5. TAMBAHKAN AIR
Akhir sekali, letak 1 cawan air supaya boleh berkuah sedikit. Tunggu hingga mendidih dan tutup api.
Siap untuk dihidang!
SEDAP MEMANG SEDAP, TAPI MESTI TAHU CARANYA!
Hanya mereka yang pernah cuba memakan ikan buntal akan tahu kelazatan masakan ini. Sungguhpun ianya diketahui beracun, ia tetap menjadi makanan yang lazim dalam sesetengah masyarakat.
Apa yang penting ialah ikan itu perlu dibersihkan dengan cara yang betul sebelum dimasak. Bahkan, sekiranya secara tidak sengaja isi perut ikan tersebut terpotong, ada yang akan membuang seluruh ikan tersebut bagi mengelakkan keracunan.
Jadi, pastikan anda benar-benar berguru dengan yang pakar sebelum masak ikan buntal ini ya!
Sumber: Abel Lione Karia
Leave a Reply