Kenapa Solat Atas Kerusi Boleh Menjadi Haram? Inilah Penjelasannya. Mesti Baca!

Join Telegram Akak Pesan Di Bawah Untuk Mudahkan Carian Artikel

Telegram logo png, Telegram logo transparent png, Telegram ...

Sejak kebelakangan ini semakin ramai penduduk di Malaysia umumnya mempunyai pelbagai masalah penyakit. Hal ini seterusnya sedikit sebanyak telah menjejaskan kualiti ibadah terutamanya yang ingin meraih banyak pahala di bulan Ramadan.

Terdapat beberapa pertanyaan yang sering bermain di fikiran masyarakat berkaitan solat. Tetapi disebabkan keterbatasan ilmu mereka tidak tahu dimana untuk mendapatkan jawapan untuk kepastian.Antaranya yang menjadi tanda tanya adalah berkaitan dengan hukum solat di atas kerusi.Adakah sah atau tidak? Bagaimana keadaan yang dikatakan sah solat diatas kerusi dan bagaimana pula dikatakan haram.

Kenapa solat atas kerusi haram ???.

Adapun begitu kami cuba mencari kepastian daripada sumber-sumber lain yang sahih. Kami mendapatkan rujukan daripada mufti wilayah persekutuan. Berikut adalah jawapan dan penjelasan lengkap daripada mufti berkenaan solat di atas kerusi.

Solat merupakan suatu ibadah yang paling besar dalam kehidupan setiap insan yang beragama Islam. Perintah untuk bersolat dalam setiap keadaan baik ketika bermusafir atau bermukim, dalam keadaan sakit atau sihat, sama ada solat dilakukan secara berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, semua ini jelas menunjukkan akan peri pentingnya kedudukan solat di dalam agama kita.

Kebelakangan ini, kami sering diajukan soalan berkenaan permasalahan solat secara duduk di atas kerusi. Justeru, dalam ruangan Tahqiq al-Masail edisi kali ini kami akan mengupas berkenaan satu isu penting yang sering menjadi pertanyaan di minda masyarakat awam dengan tajuk yang kami namakan: Persoalan Dan Juga Hukum-Hakam Yang Berkaitan Dengan Isu Solat Duduk Di Atas Kerusi.

Kedudukan Solat Di Dalam Kehidupan
Peri pentingnya solat dapat dilihat melalui beberapa nas dari al-Quran mahupun al-Sunnah. Berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: Dibina Islam itu di atas lima iaitu kalimah La Ilaaha IllaLlaah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadhan.

Riwayat Muslim (16)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa ibadah solat adalah merupakan salah satu rukun daripada lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan bagi setiap muslim yang mukallaf.

Hukum Solat Secara Duduk Di Atas Kerusi

Di antara dalil yang membolehkan seseorang itu solat dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri adalah sebuah riwayat daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau mengadu kepada Rasulullah bahawa dirinya mengalami penyakit buasir. Maka Rasulullah S.A.W bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.

Riwayat Al-Bukhari (1117)

Kata Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini: Hadis ini menunjukkan bahawa tidak dibolehkan seseorang yang sakit itu berpindah kepada duduk (ketika solat) melainkan setelah dia tidak mampu untuk berdiri.

Telah berkata ‘Iyadh daripada Imam al-Syafie dan daripada Imam Malik, Imam Ahmad serta Ishak bahawa tidak disyaratkan tidak mampu berdiri bahkan cukup jika wujudnya masyaqqah (kesusahan).

Yang makruf di sisi ulama’ al-Syafie’yyah bahawa yang dimaksudkan dengan ternafinya kemampuan dengan wujudnya kesusahan yang berat sekiranya berdiri, atau dikhuatiri sakit itu semakin teruk atau berlaku kerosakan dan tidaklah berpada dengan masyaqqah (kepayahan) yang ringan.

Antara kesusahan yang berat itu adalah seperti pening kepala pada hak orang yang menaiki kapal dan takut akan tenggelam jika dia solat dalam keadaan berdiri di dalam kapal tersebut. Adakah dikira tidak mampu (berdiri) seseorang yang bersembunyi ketika berjihad dan jika dia solat dalam keadaan berdiri maka musuh akan melihatnya. Maka dengan itu, dibolehkan baginya untuk solat dalam keadaan duduk atau tidak pada waktu itu. Terdapat pada masalah ini dua pandangan disisi ulama’ al-Syafie’yyah, yang paling tepat adalah dibolehkan tetapi perlu diqadha’ kerana itu adalah uzur yang jarang berlaku. Lihat: Fath al-Bari, Ibn Hajar (588/2).

Pendapat Para Fuqaha

Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri) ataupun dia berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).

Kata Imam Al-Nawawi dalam Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/226) lagi: Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat.

Riwayat al-Bukhari (2774)

Manakala Imam Al-Syaukani Rahimahullah ketika mengulas hadis Imran bin Husein R.A di atas berkata: Hadis Imran menunjukkan kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh untuk solat di atas lambungnya. Rujuk Nail Al-Authar, Al-Syaukani (3/243).

Kata Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi Rahimahullah: Telah ijma’ (sepakat) para ulama bahawasanya sesiapa yang tidak mampu untuk solat secara berdiri maka dia boleh melakukannya secara duduk. Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/443).

Keadaan Yang Membolehkan Seseorang Solat Secara Duduk

Di dalam kitab-kitab feqh para ulama terdahulu, terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu solat secara duduk. Berikut kami nyatakan beberapa contohnya:

  • Tidak mampu untuk berdiri.
  • Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.
  • Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun perahu, yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.
  • Seseorang yang berasa pening kepala.
  • Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.
  • Solat di atas kapal terbang jika dikhuatiri jatuh apabila dilakukan solat secara berdiri.
  • Solat di dalam keretapi seperti perkhidmatan ETS (Electric Train Service) dan seumpamanya.
  • Seseorang yang mengalami penyakit salis al-baul. Yang mana jika dia berdiri akan menyebabkan air kencingnya mengalir.

Ini semua adalah berdasarkan kata-kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).

Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam Al-Ramli yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat. Lihat Al-Taqrirat Al-Sadidah, Hasan Bin Ahmad Al-Kaf (214).

Kata Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini: Aku berpandangan bahawa kriteria tidak mampu berdiri itu adalah sekiranya dia berdiri, akan menyebabkan masyaqqah yang menghilangkan kekhusyukannya. Rujuk al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (4/310).

Selain itu, kami juga menyatakan bahawa dibolehkan juga bagi sesiapa yang melakukan solat di atas kapal terbang untuk solat secara duduk demikian juga halnya bagi sesiapa yang menaiki keretapi dan ingin melakukan solat di dalamnya.

Tatacara Solat Duduk Di Atas Kerusi

Bagi sesiapa yang mempunyai kepayahan untuk solat secara berdiri disebabkan oleh penyakit ataupun perkara selainnya, berikut kami nyatakan beberapa tatacara yang boleh dilakukan untuk solat dalam keadaan tersebut:

Secara asasnya, jika seseorang itu mampu berdiri untuk solat dan tidak mampu untuk rukuk dan sujud, hendaklah dia berdiri terlebih dahulu. Kemudian baru dia duduk dan melakukan rukuk dan sujud.

Pada asasnya, yang paling utama adalah solat duduk di atas lantai. Sekiranya tidak mampu, maka dibolehkan untuk solat secara duduk di atas kerusi.

Sekiranya seseorang solat duduk di atas kerusi dan tidak mampu untuk berdiri ketika takbiratul ihram, maka dia boleh untuk melakukannya secara duduk.

Sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri maka dibolehkan untuknya duduk atas kerusi. Manakala rukuk dan sujud dilakukan sebagaimana biasa.

Sekiranya dia mampu untuk berdiri, namun berasa payah untuk rukuk dan sujud, maka hendaklah dia solat secara berdiri kemudian dia rukuk dan sujud di atas kerusi.

Dalam kes ini, perbuatan rukuk dan juga sujud dilakukan secara isyarat sahaja. Iaitu seseorang itu mengisyaratkan kepalanya dengan tunduk sedikit semasa rukuk dan juga menundukkan kepalanya lebih sedikit dari kadar tunduknya semasa rukuk apabila beliau bersujud.

Imam Nawawi Rahimahullah menyatakan: “Dan jikalau lemah seseorang itu (yakni musalli) daripada berdiri, maka (bolehlah) dia duduk seperti mana yang dia ingini.” Ertinya, seseorang yang solat duduk dalam apa kaedah duduk pun maka solatnya sah dan tidak batal. Yang berbeza hanyalah dari segi afdaliyyah (kelebihan). Berkata Imam al-Nawawi lagi: “Dan duduk secara iftirasy itu lebih afdal berbanding duduk bersila menurut pendapat yang azhar  dan dimakruhkan duduk al-Iq`a’. Rujuk Minhaj al-Thalibin, Imam al-Nawawi (Hlm. 45).

Berdasarkan kepada kata-kata al-Nawawi di atas, kami berpandangan apabila dikatakan yang kita boleh solat duduk dalam apa keadaan sekalipun maka ia termasuklah solat duduk di atas kerusi bagi yang mempunyai keuzuran. Solatnya dikira sebagai sah dan tidak batal.

Hukum Bersandar Ketika Menunaikan Solat

Di dalam mazhab Imam al-Syafie, seseorang yang bersolat secara berdiri tetapi bersandar atau bergantung pada sesuatu seperti dinding, manusia atau tongkat, maka hukum solatnya adalah sah dengan hukum makruh. Ini jika tiada keuzuran yang membolehkan bersandar. Jika terdapat keuzuran maka tidak ada hukum makruh di situ. Lihat al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie, al-Zuhaili (1/243).

Kata Imam al-Khatib al-Syarbini: Sekiranya seseorang itu bersandar kepada sesuatu seperti dinding solatnya sah berserta karahah (makruh). Beliau berkata lagi: Sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk berdiri disebabkan masyaqqah yang berat maka dia boleh duduk sebagaimana yang dia mahu. Rujuk al-Iqna’, al-Khatib al-Syarbini (Hlm. 184).

Berdasarkan kenyataan ini, kami berpendapat bahawa sekiranya seseorang yang solat bersandar juga dikira sebagai sah solatnya, maka begitulah juga solat seorang yang duduk dalam keadaan bersandar. Lebih-lebih lagi bersandarnya dia itu disebabkan keuzuran yang diambil kira oleh syarak. Ini kerana, duduk apabila tidak mampu mengambil maqam berdiri dalam solat bagi yang mampu. Jika bersandar semasa berdiri tidak membatalkan solat, demikian jugalah bersandar semasa duduk ketika menunaikan solat.

Beberapa Cadangan Atau Dhawabit

Kami sebutkan di sini beberapa dhawabit dan juga cadangan bagi sesiapa yang ingin melaksanakan solat secara duduk di atas kerusi seperti berikut:

  • Hendaklah kedudukan kerusi yang digunakan oleh para jemaah yang uzur atau tidak mampu berdiri itu berada di hujung saf.
  • Bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.
  • Kedudukan kaki mereka yang solat duduk di atas kerusi hendaklah tidak melebihi kedudukan imam.
  • Kami juga mencadangkan bahawa kerusi yang digunakan hendaklah bersaiz kecil dan tidak terlalu besar, ini supaya keseragaman saf dapat dijaga serta memberikan keselesaan bagi jemaah yang lain.
  • Ketika seorang itu solat secara duduk, kedudukan belakang badannya hendaklah selari dengan orang yang solat di sebelahnya.
  • Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Setelah kami melihat dan menekuni permasalahan ini, kami yakin dan percaya bahawa Islam merupakan suatu agama yang memberi rahmat kepada sekalian alam. Demikian juga Islam itu bersifat dengan قلة التكاليف (sedikit taklif) serta  عدم الحرج (tidak menyusahkan). Ini berbetulan dengan firman Allah S.W.T:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْر

Maksudnya: Allah mahukan kemudahan untuk kamu dan Dia tidak mahukan kepayahan buat kamu.

Surah Al-Baqarah (185)

Begitu juga firman-Nya:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: Dan tidaklah Allah menjadikan ke atas kalian kepayahan di dalam agama.

Surah Al-Hajj (78)

Imam al-Thabari Rahimahullah ketika menafsirkan ayat di atas ini, beliau menukilkan beberapa pendapat ulama tafsir seperti Ibn Abbas, A’isyah, Abu al-‘Aliyah, serta Al-Hasan bahawa yang dimaksudkan dengannya adalah: Tidak Allah jadikan kesempitan dalam beragama kepada umat Muhammad S.A.W. Rujuk Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (18/690).

Oleh itu, berkenaan isu solat secara duduk di atas kerusi maka kami nyatakan di sini bahawa hukumnya adalah sah sebagaimana yang telah kami bahaskan di atas. Demikian juga solat duduk yang dilakukan secara bersandar, maka hukumnya sah seperti yang kami jelaskan di atas. Akan tetapi ianya perlulah menepati syarat-syarat serta dhawabit yang telah disebutkan.

Yang penting adalah perlaksanaan solat mengikut apa yang telah dinyatakan oleh syarak serta apa yang telah diajarkan oleh para fuqaha dan ulama dalam memberikan solusi yang berkaitan dengan isu ini. Solat yang menjadi tiang agama perlulah dilaksanakan dengan sebaiknya dengan meraikan segala rukun dan juga syarat-syaratnya.

Semoga pencerahan melalui ruangan Tahqiq Al-Masail ini dapat memberikan kefahaman serta merungkaikan kekeliruan kepada kita semua. Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T supaya menerima segala amalan soleh yang kita lakukan serta menggolongkan kita di dalam hamba-hamba-Nya yang beriman. Ameen.

Sumber : Akhukum Fillah

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
20 Februari 2017 bersamaan 23 Jamadil Awal 1438 H

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*