Resepi Ayam Masak Merah Madu – Harum, Pekat & Padu!

Ayam masak merah madu pekat berkilat dengan bawang hiris dan daun sup

Ayam masak merah versi madu ni memang lain macam. Rasa dia manis-manis pedas, harum daun pandan & daun kari, kuah pun cantik berkilat. Memang sesuai sangat untuk lauk istimewa keluarga hari minggu atau nak jamu tetamu kenduri kecil-kecilan.

🐓 Bahan-Bahan:

Untuk Ayam:

  • 1 ekor ayam – potong sederhana, cuci bersih
  • 1 sudu kecil garam
  • 1/2 sudu kecil serbuk kunyit
  • Minyak – untuk menggoreng

Tumis:

  • 1 batang serai – diketuk
  • 1 helai daun pandan – simpul
  • 2 tangkai daun kari
  • 4 sekawan – (kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, cengkih)

Kisar:

  • 15-20 tangkai cili kering – rebus & toskan
  • 2 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1/2 inci lengkuas (optional)

Bahan Lain:

  • 2 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tomato @ tomato puri
  • 2-3 sudu besar madu asli
  • Garam & perasa secukup rasa
  • 1 sudu kecil gula (optional)
  • Air secukupnya (jika suka berkuah)

Untuk Hiasan:

  • Bawang besar – hiris bulat
  • Daun sup & daun bawang – hiris halus

👨‍🍳 Cara Penyediaan:

  1. Gaul ayam dengan garam dan kunyit. Goreng separuh masak, angkat dan ketepikan. Buang sedikit minyak gorengan ayam tadi, tinggalkan sedikit untuk menumis.
  2. Tumis bahan 4 sekawan, serai, daun pandan dan daun kari hingga naik bau.
  3. Masukkan bahan kisar, tumis guna api sederhana hingga pecah minyak dan garing.
  4. Masukkan sos cili dan sos tomato. Kacau rata dan tambah sedikit air. Tumis semula hingga pecah minyak sekali lagi.
  5. Bila tumisan dah garing dan pekat, masukkan madu dan gaul sebati.
  6. Masukkan ayam yang digoreng tadi. Gaul rata supaya kuah bersalut cantik.
  7. Perasakan dengan garam, gula dan perasa ikut selera. Tambah air jika mahu lebih berkuah. Reneh sekejap supaya semua rasa meresap ke dalam ayam.
  8. Akhir sekali, tutup api dan tuangkan sedikit lagi madu untuk kilatkan kuah. Tabur bawang hiris, daun sup dan daun bawang sebagai hiasan.

Siap untuk dihidang! Sedap dimakan bersama nasi minyak, nasi putih atau nasi tomato. Selamat mencuba! ✨

Kredit: Mariana Abd Majid

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*