Janji Allah Itu Pasti
Ada waktunya, kita berusaha untuk membuatkan hidup kita gembira. Kita gembirakan orang sekeliling kita, tapi malang kita tetap ditimpa kecewa. Mereka masih tidak gembira dengan kita. Kita disangka bermuka-muka. Kata mereka, kita berpura-pura. Padahal, di hati kita, tiada sekelumit buruk sangka.
Niat kita satu sahaja, “Jika kamu gembira, aku gembira.”
Tak mengapa.. biarkan sahaja sangsi mereka menjelma. Diamlah kita bersama ikhlas yang tertulis “Lillahi Ta’ala” di dalam sukma. Usah gelisah atau kecewa. Sudah resam manusia, begitulah caranya. SABAR. Ada waktu, kita menegur dengan kata berbau jujur. Tidak kita mahu mereka terlanjur.
Bukanlah niat kita mahu menghukum atau mengukur. Kita berlembut menyampai hemah agar tiada yang tersalah. Tidak mahu mereka jatuh tersungkur. Niat kita hanya satu sahaja, “Jika kamu berjaya, aku tumpang gembira.”
Pun begitu, masih juga kita disangka mempamerkan bijaksana yang tidak seberapa. Tak mengapa.. biarkan sahaja kita di hina. Diamlah kita dengan ikhlas di jiwa. Tuliskan lagi barisan, “Lillahi Ta’ala.”. Usah dirundung duka. Begitulah resam manusia. SABAR.
Ada waktu, kita membantu, kita menolong sekadar mampu
Tidak sanggup melihat beban digalas bahu. Meringankan apa yang kita rasakan perlu. Niat kita hanya satu, “Jika bebanmu, ringan, aku turut merasa ringan.” Sayang sekali budi yang diberi dilihat sedikit.
Disangkanya kita melepaskan batuk di tangga. Menolong ala-ala kadar sahaja. Lebih menyedihkan, bila bantuan kita dipergunakan sebagai mainan.
Diminta-minta selalu, dibayar kita tidak perlu. Kita pula menanggung beban, sedang mereka bersenang-lenang melihat kita ditertawakan kebodohan. Tidak mengapa.. biarkan sahaja kita dibebani sementara. Namun berhentilah kita menganiaya diri. Melayurkan diri di dalam rugi. Diamlah kita dengan ikhlas “Lillahita’ala.”
Usah dirundung duka nestapa. Kepada Allah kita mohon hati yang hitam disinarkan semula. Begitulah resam manusia.
Ada waktu pula, kita menyayangi sesama saudara
Mengharapkan silaturrahim berkembang sejahtera. Niat kita hanya satu, ” Jika kamu seagama, kita bersaudara.” Kita tidak meminta musuh. Namun masih tetap ada yang ingin menimbulkan permusuhan. Disangkanya kita menggoda-goda, berebut sesama kita.
Kononnya ingin mengejar popular, menaikkan nama, atau menguji ‘saham diri’ agar nampak ranggi.
Tidak mengapa.. biarkan sahaja kita disangka gila nama. Diamlah kita dengan ikhlas “Lillahita’ala.”
Usah dirundung kelam di dada. Ingatlah, satu sahabat yang buruk melangkah pergi, sepuluh sahabat baik datang mencari. Insya Allah. Begitulah resam manusia.
Ada waktu, kita telah berusaha membina sesuatu yang baik di dalam sesuatu kerja
Telah kita bertungkus-lumus menggilapkan usaha. Niat kita cuma satu, “Jika kerjaku berjaya, kita semua juga berjaya.”
Tapi masih ada dengki dan iri. Melihat kita sebagai kaki makan puji atau bagai kadok naik junjung, mahu menjulang kuasa. Padahal bukan itu yang kita rasa.
Tidak mengapa.. biarkan sahaja fitnah itu. diamlah kita dengan bahasa ikhlas di jiwa, “Lillahita’ala.” Usah dibuai sedih dan goyah. Rezeki dan anugerah itu milik Allah. Begitulah adatnya sikap manusia.
Akar yang dibajai dengan baik dan disirami dengan keikhlasan “Lillahita’ala” yang tidak berputusan akan menjadikan pokok kehidupan kita rendang dengan buah-buah kemuliaan.
Mungkin ia mengambil masa yang lama untuk kita menanti musim buahnya tetapi apabila sampai waktu, nikmat yang kita akan rasa itu tidak akan dapat ditulis dengan kata-kata.
“Setiap kecemasan, kegundahan, kesedihan, keresahan, kelaparan, kefakiran, kesakitan, terlilit oleh hutang dan segala musibah yang lain, di sisinya ada ganjaran daripada Allah swt bagi kita yang bersabar dan menanti pertolongan Allah.”
Belajarlah jadi orang sabar, walaupun kadang-kadang kesabaran kita tak dihargai.
Namun Allah menilai kesabaran kita. Janji-Nya pasti. Ganjaran pasti ada dipenghujungnya.
Jika sukakan artikal ini jangan lupa share like dan komen artikal di fb Akak pesan. Terima kasih.
Leave a Reply